Saturday, February 6, 2016

KENAPA CINDAI BUKAN KERIS


Melayu Dan Keris

Keris adalah seribu satu simbolik kepada alam Melayu..namun yang paling jelas dan nyata keris adalah senjata terunggul buat seorang pendekar melayu

Hakikatnya Keris sebenarnya bukan sekadar senjata, Tetapi ia juga sebagai untuk menyempurnakan kehidupan sebagai seorang melayu dalam kehidupan harian.Contohnya kalau zaman dahulu jika seseorang lelaki keluar berjalan tanpa diselitkan keris dengan pakaiannya, ia diibaratkan berbogel di khalayak ramai.Manakala seorang pengantin lelaki bersanding tanpa keris diselitkan pakaiannya, pengantin lelaki itu hilang pengitirafan kelakiannya dan dianggap masih belum layak pegang tanggungjawab atau belum matang.

Keris tidak boleh dihalakan atau ditujukan tajamnya kepada musuh kerana ia bermaksud musuh kamu akan mati dan saya akan bertempur sehingga nafas terakhir terutama musuh bangsa dan agama.Ia juga melambangkan Dendam melayu. Jika selepas dihalakan dan kemudian kamu meminta maaf terhadap musuh ia bererti satu penghinaan terhadap melayu dan diri sendiri. Pantang melayu mati sebelum ajal dan melayu bukan pengecut dengan senang lenang hendak meminta maaf atau mengaku kalah pada musuh. Dalam sesetengah Perguruan Silat, sekiranya menggunakan keris dalam persembahan, apabila habis persembahan keris akan di baling ke tanah hingga terpacak ketanah untuk melambangkan semua dendam habis disini.

Begitulah uniknya Keris dalam sosio budaya Melayu. Keris turut menjadi lambang, darjat dan kudrat kekuasaan bangsa Melayu yang mencerminkan ketinggian budaya dan ketamadunannya

Antara Keris Berbisa & Cindai Berahsia.

Tempana Nipis nama asalku,
Keris pusaka Ratu Dewangga;
Niat derhaka kepada rajaku,
Taming menyerah keris pusaka

Memang Silat Melayu tidak dapat lari dari memperkatakan senjata lagenda ini. Lagenda Taming Sari sampai kehari ini masih diceritakan dari generasi ke setiap generasi.Bila di sebut keris Taming Sari sudah tentu kita semua sedia maklum akan kesaktian keris tersebut, Hinggakan Hang Tuah pernah berkata bahawa selagi Taming Sari berada ditangan Jebat jangan kan hendak membunuhnya, malah melukakannya pun belum tentu. Begitulah hebatnya keris Sakti yang bergelar Taming Sari sempena nama Pendekar Majapahit yang dibunuh dalam pertarungan oleh Hang Tuah dengan ilmu Seni Kerisnya.

Jika kita lihat sejarah pelajaran Silat Seni Gayong, ADMAR telah memperturunkan sepenuhnya segala ilmu senjata termasuk Seni Keris semenjak di Singapura lagi. Manakala Pelajaran Ilmu Seni Cindai hanya di ajar kepada arwah anakandanya Siti Aisyah seorang saja di Singapura. Manakala yang rasminya, ADMAR memperturunkan ilmu Cindai ini pada 1964 di Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong yang ke dua iaitu di Kota Sarang Semut Kedah. Salah seorang terawal yang diajarkan ilmu Seni Cindai ini ialah Ayahanada Paduka Dato Raja Abdul Majid b Raja Mat Isa, barulah ADMAR perturunkan kepada gurulatih-gurulatih Singapura.

Namun yang menjadi persoalannya ialah kenapa di dalam Silat Seni Gayong Ilmu Seni Cindai diiktiraf sebagai permainan yang tertinggi bukannya Ilmu Seni Keris. Sedangkan Melayu memang terkenal dengan Keris..Apatah lagi Silat Seni Gayong yang dikatakan berasal dari ilmu Persilatan Laksamana Hang Tuah. Bukankah Hang Tuah mempunyai ilmu Keris yang sangat hebat. Kenapa Silat Seni Gayong tidak mengiktiraf ilmu Seni Keris sebagai Ilmu peringkat Tertinggi..Pernahkah anda semua memikirkannya..?

Kisah Pertarungan Dijadikan Pedoman

Apa diharap padi seberang,
Entah berbuah entahkan tidak,
Apa diharap keris terbilang,
Entah bertuah entahkan tidak

Tatkala melihatkan Tuah begitu beria untuk menikam dan membunuhnya maka Jebat terus melompat menyentap kain Tabir untuk dijadikan senjata..namun takdir ajal Jebat sudah sampai, kain tabir itu jatuh dan melitupi tubuhnya. Lalu ibarat sepantas kilat Tuah menikam Taming Sari ke perut Jebat.

Kenapa Cindai Pilihan Jebat

Hang Jebat berfirasat tiada senjata yang mampu mengalahkan Taming Sari, apatah lagi ianya kini berada di tangan Tuah yang terkenal dalam ilmu Seni Keris. Maka hanya satu saja senjata yang mampu mengalahkan Keris Taming Sari iaitu Seni Cindai.Begitu juga Hang Tuah yang terkejut melihatkan Hang Jebat cuba mendapatkan kain Tabir untuk dijadikan Seni Cindai, kerana Hang Tuah juga mengetahui akan kehebatan ilmu Seni Cindai ini. Itulah pesan guru mereka semasa mereka berguru dulu di Gunung Ledang.

Bila Kain Tabir itu melitupi Hang Jebat maka itulah peluang terbaik yang ada pada Hang Tuah untuk mengalahkan Jebat. Sekiranya Jebat sempat menggunakan ilmu Seni Cindai yang diisikan dengan kebatinan maka belum tentu Tuah dapat membuang si Jebat.

Namun Jebat tidak terbunuh serta merta malah, turun mengamuk, membunuh akan sekelian yang menentangnya. Ada yang mengatakan ketika inilah Jebat menggunakan Ilmu Seni Cindai Basah akibat darah yang mengalir membasahi kain Cindai yang Jebat jadikan bengkung untuk menahan pendarahan.

Selendang Dililit di badan sendiri,
Berpencak tari langkah diperhalusi,
Gerak Batin dizahir sekali,
Jurus Cindai menjadi sakti

Justeru itu kerana sejarah inilah Silat Seni Gayong menganggap permainan Seni Cindai ialah permainan tertinggi sekali. Kerana Pesan Sang Adi Putra dan Petua Sang Persantanala hanya Ilmu Seni Cindai yang diisi kebatinan yang mampu mengalahkan Kesaktian Keris Taming Sari yang terkenal itu.

Memang tidak dinafikan Ilmu Seni Cindai Silat Seni Gayong bukan sekadar permainan zahir semata-mata, ia bergabung sekali dengan kebatinan. ADMAR pernah menunjukkan ilmu kebatinan Seni Cindai di Pantai Cahaya Bulan Kelantan pada suatu ketika dulu. Dengan mengunakan seutas tali Tasi, beliau mematahkan dahan pokok Rhu yang sebesar betis seorang dewasa.Seperti yang kita sedia maklum, ranting Pokok Rhu sangat liat untuk dipatahkan, apatah lagi dahannya. Inikan pula dengan seutas Tali Tasi yang begitu halus. Itulah sedikit kisah kehebatan ADMAR dan Seni Cindai.

Bergurulah dengan Guru yang mempunyai sanad yang sahih dalam ilmu seni Cindai ini. Insya Allah anak Gayong semua akan mengetahui hakikat ilmu ini sebenarnya.. Zahir dalam Ma’arifat Tajali dalam Hakikat. Inilah sejarah Seni Cindai sebenarnya dan mengapa ianya dianggap permainan tertinggi dalam Silat Seni Gayong. Saya akhiri dengan nukilan puisi hati

Kita Bentara Guru Sang Adi Putra
telah menyatu dengan Sang Persantanala.
Kita mahu mengajar penderhaka.
Kita seru pada patih
patih tersungkur di telunjuk kita.
Kita jampi di sebilah keris
Keris menikam ke perut Penderhaka.
Jebat berkubur tanpa pusara.
Ini Cindai Selendang Kuning
Pakaian Sakti tujuh Puteri,
Selendang asal wali Sembilan,
Sembilan tenunan Sembilan temuan
Bangkitan terca Bukit Siguntang
Simbat Maut pada petualang
Alu Patah pada celaka.
Kalung Puteri pada durjana
Raja Beradu pada yang derhaka.
Kita libas di angin lalu
angin melanda seteru madu
Tuah menyesal diiringi pilu.

Sesungguhnya Duhai Paduka Memanda…
Dalam Maarifat akulah Jamaluddin alKubra.
Dalam Silat akulah Sang Adi Putra
Dalam Hakikat akulah Sang Persantanala.
Guru Hulubalang lima bersaudara
Inilah Diriku Tubuh Bergelar Badan Bernama.

No comments:

Post a Comment

LAGU RASMI GAYONG

SLOGAN GAYONG

DEMO PSSGM DI SLIM RIVER 2016

TEMPUR ANAKKU IMAN

ALBUM PERLIMAU TAPAK/MANDI MINYAK PSSGM

nasuha nasuha's Slidely by Slidely Slideshow

MONTAJ MAJLIS ANUGERAH GAYONG 2016