Tuesday, November 24, 2015

TINTA SEJARAH GAYONG

Pengasas perguruan Silat Seni Gayong Malaysia adalah Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Md. Hashim, cucu kepada Daeng Kuning. Daeng Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah satu daripada lima adik-beradik anak raja Bugis yang mendarat di Tanah Melayu bagi mencari tempat untuk memulakan penghidupan baru. Tempat pendaratan mereka pada ketika itu disebut sebagai Pengkalan Aur yang mana kini lebih dikenali sebagai Air Kuning, Taiping. Baginda terus menetap di situ sementara yang lainnya meneruskan pengembaraan mereka. Daeng Kuning mangkat di Taiping dalam tahun 1875.

Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Md. Hashim, waris keturunan Daeng Kuning telah dilahirkan di Taiping pada 17hb Ogos 1915. Beliau mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun daripada datuknya, Syed Zainal Abidin Al-Attas. Syed Zainal atau Tuk Jenai pada ketika itu adalah seorang penghulu di Pekan merupakan seorang pendekar Pahang yang terkenal dengan perjuangannya menentang penjajahan Inggeris bersama-sama Allahyarham Mat Kilau, Dato’ Bahaman (orang Kaya Semantan) dan rakan-rakannya. Beliau telah berundur dan berkeluarga di Taiping hinggalah dikurniakan beberapa orang anak, diantaranya Syarifah Alauyah iaitu ibu kepada Dato’ Mahaguru Meor Abdul Rahman.

Setelah ilmu persilatannya dikhatamkan, Dato’ Meor Abdul Rahman mula dikenali ramai. Ketika berumur 19 tahun, beliau telah dipanggil menunjukkan kebolehannya di hadapan Paduka Seri Sultan Perak, Almarhum Sultan Alang Iskandar di Istana Bukit Chandan dan diberi gelaran Panglima Sendo Perak (The Invincible Warrior of Perak) dan tinggal di istana buat beberapa ketika sehingga baginda mangkat pada tahun 1938.

Kehebatan Dato’ Meor Abdul Rahman dalam bidang persilatan turut menyerlahkan dirinya ketika berhijrah ke Singapura pada tahun 1938. Beliau merupakan anak Melayu pertama ditugaskan sebagai jurulatih seni mempertahankan diri kepada Signal Corps dibawah pemerintahan Lt. Kol Pope di Gullman Barrack, Singapura. Kerana tidak mahu dirinya dijajah, beliau berundur ke Pulau Sudong, 12 km dari Singapura dalam tahun 1941 apabila tentera Jepun menyerang Singapura. Disinilah kali pertama Silat Seni Gayong mula diperkenalkan kepada sekumpulan tujuh orang belia, iaitu pada 17hb Februari 1942 jam 11.00 pagi. Di pulau tersebut dan pulau-pulau sekitarnya, beliau telah membuktikan kepintaran dan keberaniannya memperdaya, menewaskan tentera Jepun serta melindungi penduduk di pulau tersebut.

Atas kegigihan beliau, maka merebaklah pengaruhnya hingga Silat Seni Gayong berkembang ke pulau-pulau Indonesia, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Diatas jasanya yang cemerlang ketika bertugas di cawangan jenayah serta sumbangannya kepada Kerajaan British ketika menentang pendudukan Jepun di Singapura dan Malaya, beliau telah dikurniakan pingat King George V oleh baginda Ratu Elizabeth yang mana pada ketika itu Dato’ Meor Abdul Rahman telah pun menjadi anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah, Singapura.

Dato’ Meor Abdul Rahman terus gigih mengembangkan Silat Seni Gayong ke seluruh Tanah Melayu dan Singapura bermula dari tahun 1948. Setelah bersara dari pasukan polis, beliau telah menubuhkan Seni Gayong School di Woodland, Singapura pada 3 Disember 1960.

Pada tahun 1959, Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar, pengasas UMNO dan penentang Malayan Union telah masuk menjadi ahli Silat Seni Gayong. Memandangkan sambutan terhadap seni silat ini begitu menggalakkan, beliau mencadangkan supaya ianya didaftarkan. Hasil usaha nasionalis Melayu ini serta Dato’ Meor Abdul Rahman sendiri, seni silat ini telah berjaya didaftarkan di Johor bahru pada 22hb Oktober, 1963 (No. Pendaftaran 361) atas nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Ianya merupakan pertubuhan silat yang pertama sekali berdaftar dan kini merupakan perguruan silat terbesar di Malaysia.

Silat Seni Gayong terus berkembang pesat di Semenanjung Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Meor Abdul Rahman. Usaha dan pengorbanannya mengembangkan seni silat ini telah dirakam oleh Paduka Seri Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Idris dengan pengurniaan pingat Darjah Paduka Cula Si Manja Kini (DPCM) yang membawa kepada gelaran Dato’. Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Md. Hashim mangkat di Taiping pada 23hb Jun 1991 ketika berusia 76 tahun.


SEJARAH PENUBUHAN PSSGM SMKBB2020


Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia telah ditubuhkan di SMK Bandar Behrang 2020 sekitar tahun 2011 di bawah pimpinan Pn. Asmah sebagai guru penasihat. Keahliaan seramai 30 orang murid yang mendaftar di bawah ini kokurikulum sekolah. Tugas kejurulatihan di serahkan kepada Cikgu Latiff bagi mejalankan aktiviti latihan silat di sekolah. Pencapaian ahli silat tidak ketara kerana di peringkat daerah tidak mengadakan sebarang pertandingan silat, namun beberapa murid telah terpilih mewakili Daerah Batang Padang dalam Pertandingan Seni Silat Antara Daerah Negeri Perak. 

Pada tahun 2013 persatuan seni silat SMK Bandar Behrang 2020 telah bertukar teraju yang ketika itu di bawah seliaan guru penasihat Ustazah Pn Hajah Sarirah Bt Ibrahim. Pertandingan Seni Silat Daerah Batang Padang telah diadakan buat julung kalinya pada tahun 2014 yang menyaksikan sifat kepahlawanan dan srikandi murid SMK Bandar Behrang 2020. Dengan bantuan Ustaz Mohamad Nasuha Bin Ahmad, SMK Bandar Behrang telah menyertai ke semua kategori pertandingan seni silat Daerah Batang Padang.

Ke semua pesilat SMKBB 2020 telah digeruni samada kawan mahupun lawan, dengan mengungguli ke semua kategori silat olahraga yang berjaya mengondol 11 pingat emas yang di pertandingkan. Manakala dari kategori Silat Seni pesilat SMKBB 2020 hanya berjaya mendapat naib johan, yang dkuasai sepenuhnya oleh pesilat daripada MRSM Trolak. Manakala di peringkat Negeri banyak kategori silat olahraga di mansuhkan kerana faktor-faktor tertentu oleh pihak JPN Perak. Namun yang membanggakan 2 orang pesilat SMKBB 2020 telah berjaya mewakili daerah ke peringkat negeri. Mohamad Aiman telah mengondol pingat gangsa di bawah kategori kelas F, seorang lagi pesilat Ain Nadhirah hanya memperolehi sijil penyertaan. Pencapaian tertinggi pesilat SMKBB 2020 iaitu Muhd Aizat telah mewakili kontijen negeri Pahang ke pertandingan peringat antarabangsa.

Pihak sekolah SMKBB 2020 di bawah bimbingan Penolong Kanan Kokurikulm, En Shamsuddin Bin Ramli telah berjaya dinobatkan pencapaian kokurikulm terbaik peringkat daerah pada tahun 2014 dengan membawa pulang piala. SMK Bandar Behrang 2020 bukan sahaja gah di persada sukan olahraga malahan gah di dunia kepahlawanan. Pencapaian pasukan silat turut membantu sekolah memenangi piala tersebut.

Pada 28 April 2015 sekali lagi pesilat SMKBB 2020 di bawah jurulatih cikgu Firdaus dan cikgu Khalid bin Saadon telah menyertai Pertandingan Seni Silat Peringkat Daerag Batang Padang di Kem PGA Bidor, Perak. Sekali lagi SMKBB 2020 telah berjaya memecahkan keangkuhan pesilat MRSM Trolak dengan mendominasi 7 kategori yang dipertandingkan. Keputusan pertandingan iaitu satu pingat emas, lima pingat perak dan satu pingat gangsa. Tahniah dan syabas kepada semua anak gayung SMKBB 2020. Dan 2 pesilat akan mewakili Daerah Batang Padang ke Pertandingan Negeri di Kinta Selatan pada 22 Mei 2015. Dan berusaha sedaya upaya dapat mewakili ke peringkat kebangsaan pula.

Di peringkat sekolah pula, Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia telah dipelawa membuat persembahan silat di kejohanan temasya Sukan Sekolah sejak tahun 2014. Pada kejohanan 2015, Persatuan Silat telah menyertai pertandingan perarakan unit-unit uniform dan berjaya mendapat naib johan walaupun baru kali pertama diadakan pertandingan tersebut. Sekali lagi anak-anak gayong berjaya menambat hati penonton dengan beberapa persembahan di kalangan murid, jurulatih dan guru penasihat. Teruskan Wahai Anak Gayong SMK Bandar Behrang 2020.

Seramai 3 orang pesilat SMKBB 2020 telah mengikuti upacara mandi minyak yang dianjurkan oleh Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia di Universiti Perguruan Sultan Idris Shah, antaranya adik Mohd Ammar, Ain Nadzirah dan Iman Solihin yang merupakan anak sulung guru penasihat PSSGM SMK Bandar Behrang 2020 iaitu Ustaz Mohamad Nasuha Bin Ahmad. 

InshaAllah...di hujung penutup tirai 2015 direncanakan semua pesilat SMKBB 2020 akan mengikut Ujian Kenaikan Bengkung buat julung kalinya. Moga tahun 2016 nanti akan lebih menyinar PSSGM di bumi SMKBB 2020....terima kasih semuanya...

LAGU RASMI GAYONG

SLOGAN GAYONG

DEMO PSSGM DI SLIM RIVER 2016

TEMPUR ANAKKU IMAN

ALBUM PERLIMAU TAPAK/MANDI MINYAK PSSGM

nasuha nasuha's Slidely by Slidely Slideshow

MONTAJ MAJLIS ANUGERAH GAYONG 2016